Video credit : Bernama WebTV
Pos Malaysia Berhad mengumumkan inovasi terbaru dalam menggabungkan teknologi dan tradisi dengan memperkenalkan kad ucapan Raya Hologram 3 Dimensi sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Mel Pos Malaysia Helmi Hashim berkata berikutan kejayaan poskad animasi pada Aidilfitri tahun lalu yang menampilkan teknologi Augmented Reality (AR), Pos Malaysia kali ini mengambil peluang menggunakan teknologi yang berkembang kini untuk menghasilkan Kad Ucapan Raya Hologram 3D.
Pek kad Ucapan Raya Hologram 3D itu dijual pada harga RM12 yang mengandungi empat kad AR dan masing-masing satu kad ucapan Hari Raya, sampul berserta setem 50 sen, projektor plastik hologram dan poskad filem ‘Pulang’ edisi terhad.
Kad Ucapan Raya Hologram 3D didatangkan dalam dua reka corak dan video yang berbeza.
Pelanggan perlu memuat turun aplikasi hologram melalui aplikasi Google Play atau App Store dan melekatkan projektor plastik hologram pada skrin telefon pintar untuk melihat video hologram 3D.
Kad keluaran baharu itu boleh didapati di 400 pejabat pos terpilih atau di laman sesawang www.eziemall.com.